Tuesday, November 12, 2013

Demam Denggi

Akhir bulan Oktober 2013 dengar khabar jiran kena demam denggi. Kena tahan ward juga la beberapa malam. Alhamdulillah tak melarat dan dah sembuh jiran saya.

Khamis, 30 Oktober 2013 saya pergi kerja macam biasa tapi badan dah rasa seram sejuk. Saya abaikan saja sebab selalunya dah macam-macam kerja di ofis, automatik terus baik. Tapi, sangkaan saya meleset. Saya terus demam, sakit kepala dan rasa tak larat sangat. Petang tu juga ubby datang jemput di ofis dan terus ke klinik.

Bermula lah episod demam tak larat dan tak boleh bangun sampai hari Ahad. Dengan sakit tekak, tak lalu makan, lemah badan. Ubby lah yang setia bagi makan ubat tengah-tengah malam lap dahi saya sebab badan panas sangat. Isnin tu tak sedap hati terus ke klinik kerajaan ambil darah. Hasilnya memang bacaan platlet darah ada turun sikit. Selasa cuti, jadi ulang semula amik bacaan darah hari Rabu berikutnya.

Pagi Rabu pula, badan dah naik macam ruam tapi tak timbul, penuh satu badan. Risau sangat terus ke kecemasan Hospital Putrajaya. Kena drip sebotol setengah air sambil tunggu result darah. Bacaan 100 tapi dibenarkan balik dan sambung ambil darah esok di klinik kesihatan sahaja.

Rutin Khamis dan Jumaat memang ke klinik dan ambil darah je. Badan lemah, sakit sendi dan ada rasa gatal di tapak kaki dan tangan. Ambil tekanan darah pun tinggalkan kesan macam kena cubit kuat kat kulit.

Walaupun dah mula bekerja Isnin lepas, tapi kepala masih pening-pening dan selera makan belum pulih sepenuhnya. Kadang-kadang rasa badan macam menggigil dan seperti di awang-awangan....

Penangan demam denggi ni jangan buat main....

Nak kongsikan sedikit info yang saya jumpa:


Pengenalan
Demam denggi adalah sejenis penyakit jangkitan virus yang merebak melalui gigitan nyamuk Aedes aegypti yang telah dijangkiti.

Terdapat empat (4) jenis virus yang boleh menyebabkan demam denggi (DEN 1, DEN 2, DEN 3 dan DEN 4).

Jangkitan oleh salah satu jenis virus akan memberikan imuniti terhadap virus jenis itu sahaja, jika individu tinggal di kawasan jangkitan denggi, mereka boleh di jangkiti lebih dari sekali seumur hidupnya.
Lebih 100 negara di Asia Selatan, Asia Tenggara, Afrika, Amerika Timur Mediterranean dan Pasifik Barat mengalami masalah denggi.

Tanda dan gejala
  • Kebiasaannya demam akan terjadi pada hari ke tiga (3) hingga ke empat belas (14) selepas digigit oleh nyamuk yang dijangkiti, kebiasaannya di antara 4 hingga 7 hari.
  • Selalunya ia akan bermula dengan demam kuat yang mengejut, sakit kepala yang teruk/kuat, sakit pada bahagian belakang mata serta otot-otot dan sendi-sendi. Ruam merah di kulit juga boleh terjadi.
  • Demam ini boleh mencapai suhu 40 - 41 C, dan selalunya akan berlarutan selama 2 hingga 7 hari. Ia juga boleh menyebabkan serangan sawan dikalangan kanak-kanak di bawah umur 6 tahun. Sakit teruk pada tulang-tulang, otot-otot dan sendi-sendi. Demam denggi ini juga dikenali sebagai "breakbone fever".
  • Ruam selalunya akan tumbuh pada hari ke 3 dan 4 selepas bermulanya demam.
  • Muntah dan kurang selera makan.
Pemastian diagnosa penyakit

Antibodi akan dikesan di dalam darah (Dengue IgM) (Antibodi yang dihasilkan oleh sistem pertahanan badan untuk melawan jangkitan).
Ujian PCR (kaedah mengesan genetik virus) boleh mengesan virus denggi di dalam darah dan nyamuk boleh didapati di sesetengah makmal.
NSI antigen: Satu lagi test yang mengesan virus ini pada peringkat awal/demam.
Rawatan
  • Segera berjumpa dengan doktor kerana tiada ubat yang khusus untuk merawat demam denggi.
  • Rehat dan banyakkan minum air masak. Ubat paracetamol boleh diambil untuk menurunkan demam dan mengurangkan kesakitan.
  • Elakkan ubat aspirin bagi kanak-kanak di bawah umur 12 tahun.
  • Mandi jerlum.
  • Antibiotik tidak diperlukan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...