Thursday, March 31, 2011

Gigi Sofea lagi...

Sebelum ni saya pernah buat entry gigi Sofea. Dan pagi ni tengok dalam mulut dia, ada lagi gigi tumbuh sebelah gigi belakang tu. Maknanya, Sofea kena cabut sekali lagi gigi depan yang masih sihat untuk bagi ruang gigi belakang ambil alih takhta. 

"Takkan asyik nak cabut gigi jek..."

Ubby merungut. Abis tuh, takkan nak biar jek gigi tu tumbuh berlapis kan....

Jadi, esok kalau takde aral, minta tolong ubby bawa anak ke Klinik gigi untuk cabut ya....Saya dah banyak sangat time-off bulan ni....

Wednesday, March 30, 2011

EL dan Kliniks

Semalam saya EL.

Saya dah terasa benjolan di leher Syameel sejak minggu lepas. Tapi saya biarkan saja dan monitor pembesarannya setiap hari. Balik kampung haritu tanya2 mak2 dan ayah2. Suh cepat gi klinik check kenapa. Saya rasa benjolan tu disebabkan kudis di kepala dia yang baru sembuh sepenuhnya minggu lepas. Saya tahu memang biasanya kanak-kanak akan ada kalenjar yang bengkak jika terdapat jangkitan pada kulit atau sebagainya. Tapi yang ni lain benar saiznya.

So, semalam saya ke KK Putrajaya. Jam 8 pagi dah duduk kat kerusi untuk daftar. Jumpa doktor dalam jam 9.30pg. Doktor suruh tunggu dalam 7 - 10 hari lagi. Dia pun menyatakan hal yang sama pada saya iaitu kelenjar tu disebabkan oleh kudis yang baru sembuh di kepala Syameel. Kalau lepas ni tak susut juga, dia akan refer ke Pakar di Hospital. Lagipun Syameel takde menunjukkan tanda-tanda taknak makan, atau muntah2 atau cirit-birit....semuanya normal dan dia aktif seperti biasa.

Balik dari KK Putrajaya, saya terus ke Kajang. Pergi Klinik Pakar ENT pula. Saya ni rajin servis telinga anak2 dan suami. Siap beli pengorek telinga yang ada lampu lagi. Sebelum ni Sofea memang pernah mengalami masalah yang sama - tahi telinga pekat dan block di sekitar ruang telinga. 

Masa Sofea dulu saya pakai Cerumol, dan titikkan selama 3 hari. Alhamdulillah, berjaya keluar tahi telinga tu. Syameel ni pulak saya guna cara yang sama tapi masih belum boleh capai tahi telinga tu. Saya jadi risau, selalu jugak panggil Syameel bisik2 nak tengok dia dengar ke tidak. Alhamdulillah masih dengar. 

Sampai di Klinik Pakar ENT, tak ramai orang. Jadi cepat lah jumpa doktor. Doktor Esa nama beliau, sangat baik. Lepas cerita semua pada doktor, doktor terus masukkan kamera dalam telinga Syameel. Memang nampak jelas dan tahi telinga tu taklah sampai block saluran telinga. Dua-dua belah pulak tu. Doktor sampai perli saya, rajin betul mak awak ni check telinga sampai nampak tahi telinga yang block tu. Saya kata sebab dah ada history kakak dia sebelum ni.

Doktor cuba nak sedut keluar tapi tak berjaya. Syameel pulak memang dah biasa saya check telinga dia, maka dia pun behave jek la. Doktor sampai puji-puji lagi bagus budak ni. Tak bergerak pun  atas pangkuan saya cuma jerit sakit je bila mungkin terkena kat dinding telinga dia. 

Akhirnya doktor taknak buat Syameel takut, dia kata cuba titikkan lagi Cerumol selama seminggu. Pastu baru datang lagi tengok macam mana. Syameel dapat gula-gula 2 biji. Seronok dah tu, lupa terus sakit tadi. Kena RM10 jek sebab tak ambil ubat dan buat apa-apa.

Balik tu terus tapau McD, amik Sofea dari taska dan terus balik umah. Sampai umah, semua pakat tdo sampai petang.....Dapatlah saya vacum umah dan lipat kain melambak 2 bakul.


p/s ; nama jek cuti, tapi tak dapat rehat pun.....letih...nak cuti panjang!!

Sunday, March 27, 2011

Balik kampung

Weekend kali ni pulang ke kampung. Ada sambutan Maulidur Rasul peringkat Kumpulan Yasin area umah mak ni. Sumbangan 2 ekor kambing. Majlis pada Sabtu malam Ahad. Saya balik lepas keje, Jumaat malam Sabtu. Plan asal tdo umah PIL dulu baru umah mak saya.

On da way, mak call tanya tdo mana. Bagitau la tdo umah PIL dulu. Pastu mak kata esok pepagi datang cepat sket. Abis kalau sampai umah PIL pun dah kul 11.30 malam, takkan nak cabut pepagi kan....suka lah buat saya rasa serba salah.

Last-last, kekal plan asal. Dalam kul 3ptg hari Sabtu baru saya balik umah mak. Ada ramai orang rewang. Bak kata ubby, kalau saya takde pun bukan takleh jalan majlis....

Keje ofis banyak. Rasa nak nangis pun ada. Risau  selagi belum keluar publication ni.....

Thursday, March 24, 2011

Botol Susu

Semalam lepas balik keje terus singgah Alamanda. Alang-alang dah lambat dan Sofea pun tak sempat nak ke kelas KUMON sebab dah lewat benar. Memang cadang nak beli botol susu BPA free untuk Syameel dan lupuskan yang mana ada sebab dah lama. Lagipun Sofea dah tak minum botol lagi. Dah lama jugak pakai botol-botol lama tu, sebab saya selalu kelaskan mana nak guna untuk gi jalan, mana nak guna di rumah. Dan saya keluarkan secara berperingkat.

Legalah sikit rak botol susu, dan sekarang takleh culas mencuci botol lagi. Selalu longgok je banyak2 baru basuh. Sekarang dah tak banyak, kena lah lepas minum terus basuh kan....
Sofea tanya, "Ni botol baru siapa ibu?"

Saya jawab, "Ni Sofea ngan Syameel punya lah. Tapi Sofea nak hisap susu guna botol susu lagi ke?"

Dia diam jek. Macam malu nak jawab. 

"Takperlah kalau sesekali nak hisap botol susu, Sofea gunalah. Kalau tak asik Syameel je lah yang guna." saya terangkan pada dia.

Sebenarnya nak jugak tuh, tapi dia malu nak jawab. Garang kan ibu dia...hehehhe....tapi taklah sekejam sampai tak bagi anak minum dalam botol. Memanglah dah besar...tapi kalau dah teringin sangat tu, ibu bagi jugak ler....

 Botol susu yang ada - Sofea+Syameel. Semua dah selamat masuk tong sampah.


Ganti dengan ini. Dari kiri untuk jalan-jalan dan seterusnya 2 lagi untuk pakai di rumah dan di taska. Brand Baby Kiko.

Petang esok nak balik kampung. Jadi malam ni macam-macam keje lah menanti saya. Nak lipat baju, kemas beg...ingat nak sental bilik air sekali....tak suka tinggalkan umah sepah-sepah. Harap takdelah plan tergempar malam ni ke mana-mana.

Syameel dah beberapa malam asyik bocor jek pampers dia. Walhal taklah penuh sangat. Dia memang dah tak pakai pampers siang hari. Tapi kadang-kadang terkucil jugak kat taska. Saya selalu bekalkan baju lebih sebab takut terkucil tuh la....

Pukul 4pagi tukar, kul 6pg bangun basah seluar baju dan tentunya katil saya juga. Nasiblah saya dah alaskan toto sebab taknak kena kat tilam walaupun dah ada mattress protector. Selalunya tengah malam dia akan lari tidur bilik saya menyelit. Jadi dah beberapa malam ni saya asyik lap jek toto tuh. Kali ni nak kena hantar dobi jugak nampaknya toto tu sebab was-was pulak...bersih ke aku lap2 jek ni.

Saya syak dia tak sesuai lagi pakai pampers saiz L tuh. Next beli pampers nak beli XL pulak. Pakai malam je pun. Dah jimat dah sekarang ni.....

Lari tajuk pulak entry ni, tapi alang-alang dah tulis tu kan...

p/s: Sofea & Syameel minum susu ILHAM sekarang. Alhamdulillah...

Wednesday, March 23, 2011

Dalam Hati

Ni bukan dalam hati ada taman tau...ni dalam hati mendongkol....semalam dah call semula company tu mintak batalkan kad tu. Dahlah dah siap charge dalam credit card, pantas betul diorang nih. Tak peduli lah cemana pun nak batalkan jugak sebab dalam hati ni memang rasa semacam jek.

Semalam petang Orang tuh cakap dah buat cancellation. Tapi pagi ni call nak tahu cemana dengan amaun yang dah charge  tu, dia tengah meeting pulak. Tuhla....next time kena hati cekal sket. Letak jek telefon kalau dapat call-call yang seumpama tu.

So, kawan-kawan beringatlah. Jangan jadi macam saya. Sekarang menyusah diri pulak.

update 3.04pm : Baru call company tu, kata dah cancel charge pada card credit. Kalau tak hari ni esok clear lah pada credit card.  Takpe, saya tunggu dan lihat....

Tuesday, March 22, 2011

Panazzzzzzz


Minah 'nongkrong' ni kadang-kadang memang membakar hati dan perasaan aku tau! Boleh pulak dia kata kat Kakak 2 yang aku buat keje senyap-senyap pastu simpan sendiri....Habis tuh, buatpe aku share fail dengan dia? Mangkuk hayun sungguh! Ni yang buat aku hangin dengan dia nih!!! Kalau tak tau aku buat pe, buat pe ngaku2 depan Bos 'kami' sedang buat ini...ini... hallo....kami itu adalah aku tau! Kau tau buatpe kat ceruk tu pun aku tak tau! Kerja print paper jek...

Ya Tuhanku sabarkan lah hatiku ini....jangan sampai aku buat drama pulak kat bahagian ni....

Dan baru sebentar tadi menerima panggilan dari Service Card Centre Prestige Platinum Vacation (M) Sdn. Bhd yang menawarkan Prestige Platinum VIP Card dengan Voucher dan macam2 lah kelebihan jika memiliki kad ini. Dan saya tidak dapat cara untuk mengatakan tidak ( di mana selepas itu call ubby dan ubby kata nape tak letak jek telefon) dan bersetuju untuk menerima kad itu dan tebanglah RM599 bagi mengaktifkan kad tersebut.

Walaupun RM599 tapi amat besar nilainya bagi saya buat masa ini, walaupun dengan memotongnya dari kredit kad tapi masih kena bayar juga. Ubby ampunkan daku kerana tak pandai nak menghandle  perkara ini. Walaupun kakak 1 dan kakak 2 sudah berkali-kali melambaikan tangannya mengatakan tidak. Tapi saya rasa kurang ajar untuk mematikan talian begitu sahaja.

Jadi untuk menyedapkan hati saya yang gundah gulana ini saya anggapkan ianya adalah sesuatu yang positif. Oleh kerana kad ini percuma seumur hidup mungkin nanti akan ada gunanya. manalah tahu nak makan angin ke obersee ke, nak gi umrah ke, ubby nak kena travel gi Switzerland ke...kan ubby kan....

p/s : kenapa lah semua benda ni nak jadi masa ni????

Cerita di suatu pagi

Sejak makan JRD ni celik lah jugak mata saya masa dalam kereta pagi-pagi tu. Kalau tidak memang bantai membuta jek lah. Ubby ajk berbual pun saya jawab melalut-lalut.

Minggu lepas, di suatu pagi yang indah...cewah! Dalam perjalanan ke ofis sambil-sambil mendengar SINAR tu, ada lah seorang suami ni dia kata isteri dia kat rumah biasa-biasa saja, takdelah manja-manja dengan dia. Pertama kali dia bawa isteri dia pergi bercuti, semasa percutian barulah isteri dia tunjuk kemanjaan dia pada suami tu.....

Kata KE, kena bawak gi bercutilah selalu, baru isteri suka dan bermanja-manja. Maknanya dia rasa dihargai sebab dapat berjalan-jalan....

Kata ubby, " sayang, walaupun ubby tak bawa sayang gi bercuti, ubby sebenarnya sangat-sangat menghargai sayang tau...."

Sayu saya dengarkan ubby cakap macam tu, ubby....jalan-jalan bercuti pun kalau ubby tak sayang saya tak guna jugak. Jadi, biarlah kita jalan-jalan gi kerja sesama, balik kerja sesama....jalan lah jugak tuh....Janji kita bahagia...anak-anak pun tak komplen....


Anak-anak tu senang jek, kita buka kolam depan umah, terus lupa nak gi bercuti2...hahahahha

p/s : I love u, ubby!

Monday, March 21, 2011

Tak suka

Raya tahun lepas, adalah seorang kenalan saya masa belajar dulu nak datang beraya ke rumah. Saya excited la, org nak dtg beraya kan....rupanya ada udang di sebalik mee....malam dia datang tu tak goreng mee, just tapau sate jek...ngan kuih raya. Maklumlah hari kerja masa tu.

Dia nak ajak saya join biznes, ala....yang buat loan RM20K tuh, biznes MLM yang glamer tuh. Dia kata dia buat part time jer. Jadi nak lah sama-sama ajak saya join...kongsi maklumat katanya....

Ubby memang dari awal lagi tak minat benda-benda macam ni. Bila husband kawan saya ni mula buka mulut cakap pasal tuh, ubby mula lah pandang-pandang kat saya. Dan saya buat-buat dengar jek lah.

Tapi kan, yang tak tahan tu tak payah lah nak libat2kan pahala-pahala nikan (maksud saya ayat-ayat keagamaan ni). Walaupun suami saya dalam bidang marketing, tetapi kalau bab MLM ni memang dia tak suka. Pendek kata, walaupun kami peramah tapi kami masih tak cukup tebal muka untuk mengajak saudara-mara atau sahabat taulan untuk membincangkan soal biznes ni.

Anak dia sampai dah meragam jugak lah sebab dah pukul 11 lebih malam masa tu. Esok nak keje lagi nih....Kami pun bagi kata putus nak pikir dulu. Selang beberapa hari selepas itu, kawan saya ni sms tanya samada saya dah buat keputusan ke belum. Maka saya jawablah kami tak setuju /tak bersedia nak join. 

Boleh pulak dia sms balik 

" Bila agak2 ko blh bersedia? Komitmen makin hari makin bertambahkan...hehehe...Xpelah, aku tak paksa ko pun, aku nak offer kat ko je...syok jugak kalau jd share partner, bleh gerak sama-sama"  

Fine, dapat ceramah di situ, ubby kata ko tahu ke duit aku banyak ke sikit? Seolah-olah macam ubby ni tak mampu nak sara anak bini....

Rezeki Allah kan di mana-mana. Mungkin tu cara usaha dia, tapi bagi kami lain pulak caranya. Jadi ayat mula-mula dia tu menyentapkan saya jugak lah kan....

Dan yang sebenarnya nak bagitau hari ni dia ada bagi mesej di Fb saya untuk tengok CDM yang masuk paper tuh. Pendapatan mencecah 6 angka sebulan. Alhamdulillah itu rezeki dia.....

So, pada kawan saya tu, semoga berjaya dengan apa yang dia usahakan. Saya suka jek kawan-kawan  saya senang....saya tumpang gembira je.

Friday, March 18, 2011

Sofea


Sofea telah selamat mencabut gigi susu pertamanya. Gigi ini terpaksa dicabut walaupun masih elok dan belum bergoyang kerana sudah ada pengganti yang tidak sabar-sabar untuk merampas takhta. Buat pertama kalinya disyorkan oleh rakan sekerja untuk mendapatkan rawatn di Klinik Pergigian Hulu Langat di Bangi. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan tak semena-mena kakak 2 juga berjaya mencabut gerahamnya yang senget. Selamat RM 48 kerana telah mendapatkan temujanji di klinik swasta, tetapi saya berkeras untuk mengajak kakak 2 mencuba nasib di klinik kerajaan tersebut yang hanya melibatkan kos RM2 sahaja.

Thursday, March 17, 2011

Wednesday, March 16, 2011

Wanita

Kasihan kaum wanita. Mungkin terlalu banyak bebanan kerja, keperluan keluaraga, tekanan emosi, fizikal dan mental menjadi penyebab kepada KEMURUNGAN.

Tapi, anggaplah ini semua cabaran dalam menjalani kehidupan seharian. Fikirkan matlamat dan ganjaran yang kita akan perolehi kemudian nanti. Bersihkan hati, berfikiran positif dan ceria selalu!!!!

 

Wanita Malaysia dihimpit kemurungan?

WANITA lebih mudah risau dan terdedah kepada kemurungan berbanding lelaki. Demikian kata Pakar Perunding Psikiatri Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Dr. Nor Hamidah Mohd. Salleh.

Menurutnya, dianggarkan 73 juta wanita seluruh dunia mengalami episod kemurungan major setiap tahun.
"Ia lebih ketara di negara-negara maju di mana peningkatan kes bunuh diri banyak berlaku. Kini, penyakit ini mula menular ke negara membangun dan tidak ketinggalan Malaysia juga dilihat semakin ke arah itu," kata beliau ketika menyampaikan ucapan sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa di hospital tersebut baru-baru ini.

Katanya, sebanyak 13 peratus wanita yang mengalami proses kelahiran mengalami masalah mental termasuk kemurungan setiap tahun.

Pada peringkat yang lebih teruk, ia mengundang perbuatan bunuh diri yang kini dilaporkan menjadi antara tujuh punca kematian untuk wanita berusia 20 hingga 59 tahun di seluruh dunia.

Menurutnya lagi, dalam satu kajian yang pernah dijalankan oleh Universiti Arizona terhadap 166 pasangan berkahwin mendapati, wanita melalui episod stres yang tinggi berbanding lelaki.

Bercerita mengenai punca masalah yang semakin meningkat itu katanya, desakan hidup dan persekitaran sebenarnya menjadi penyebab utama.

Namun seandainya seseorang bijak melalui setiap stres yang dialami, mereka mampu menjalani hidup dengan lebih berkualiti.

Jelas Dr. Nor Hamidah, kesihatan mental sama pentingnya dengan kesihatan fizikal.
"Mengambil berat tentang kesihatan mental membantu kita untuk merasa lebih sihat secara fizikal. Begitu juga sebaliknya kerana kedua-dua perkara ini saling berkait," katanya.

Beliau turut menasihatkan mereka yang mengalami masalah supaya ambil masa untuk rehat dan berani untuk berbincang mengenainya bersama saudara atau teman terdekat.

"Anda sendiri mungkin sedar dengan perbezaan diri apabila mengalami masalah mental seperti kemurungan. Malah rakan-rakan terdekat juga pasti akan sedar mengenainya. Seandainya ada yang menasihati anda agar bertemu pakar untuk mendapatkan rawatan, jangan tunggu lagi," katanya.

Menurut beliau, kerja, keluarga dan kawan-kawan memberi kesan kepada kesihatan mental dari sudut kebaikan dan keburukan. Justeru katanya, setiap individu perlu pandai mengimbangi kerjaya dan kehidupan mereka agar sihat mental dan fizikal.

Nikmati kehidupan sewajarnya
Kata Dr. Nor Hamidah, kesihatan mental yang baik membantu kita menikmati hidup dan menangani masalah dengan sewajarnya.

"Ia menawarkan rasa nikmat kehidupan dan memberi kita kekuatan dari dalam. Seperti kita menjaga badan melalui pemakanan yang betul dan melakukan senaman, kita boleh lakukan sesuatu untuk menjaga kesihatan mental," katanya.

Mampu untuk bercakap mengenai masalah yang dialami dan membuat keputusan secara berhemah mengenai kesihatan mental sendiri adalah langkah pertama terbaik buat mereka yang mengalami masalah tersebut.
Kemampuan untuk bangkit kembali daripada masalah atau kesukaran dan menangani dengan bijak adalah peranan terbaik dalam menjaga kesihatan mental yang baik, kata beliau.

Menurutnya, membuang segala perkara negatif juga membantu bagi mengelak diri dibelenggu masalah. Setiap individu juga katanya perlu mengubah perspektif diri ke arah menjalani hidup yang lebih sihat mental dan fizikal.

"Kita tidak boleh mengelak perkara yang tidak diingini daripada berlaku, tetapi kita boleh belajar bagaimana untuk melaluinya," ujarnya.

Pelajari bagaimana untuk menangani stres dengan segera merupakan langkah yang bijak, apatah lagi andai ia melibatkan masalah kerja.

Kumpulan sokongan

Hospital Gleneagles Kuala Lumpur menubuhkan kumpulan sokongan yang dikenali sebagai "Women to Women Wellbeing Tea-Talks" yang bertindak sebagai platform untuk berkongsi pengalaman dalam pelbagai cabang berkaitan isu kesihatan.

Pelbagai topik akan dibincangkan dalam suasana santai dan ia percuma untuk mereka yang berminat.
Sesi pertama akan dimulakan pada 30 April ini dengan tajuk "Hidup Dengan Kanser Payudara" oleh Dr. Harjit Kaur dan Dr. Nor Hamidah sendiri akan bercakap dari sudut kesihatan mental.

Sunday, March 13, 2011

=D

HAPPY 7th ANNIVERSARY!!!! Semoga rumahtangga kita kekal bahagia hingga ke hujung nyawa...AMIN...


**tahun depan Sofea dah masuk sekolah, tahun ni saya dah risau nak pikr cemana agaknya anak dara saya masuk Darjah 1...

Monday, March 07, 2011

=(


Dah berusaha, tapi masih macam tu jugak. Nak buat cemana....Last-last masam muka....



p/s: bukan gambar saya...gambar en.G

Thursday, March 03, 2011

TINIHANI

Hari ni, Tini yang minat aktiviti kraf  di temubual di rancangan Wanita Hari Ini, saya yang dapat tahu semalam tak sabar betul nak tengok dalam www.tonton.com tapi sadisnya akaun masih takleh nak login. Nasib ada kawan-kawan upload video kat fb ngan blog. Dapat gak tengok. Tini yang minat menjahit dan sangat kreatif dah melangkah selangkah lagi ke hadapan. Saya doakan awak terus maju dan apa yang diimpikan tercapai. Saya tumpang teruja dan gembira....
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...